GANGGUAN JIN

 

Makna Jin

  • Jin adalah sejenis makhluk halus yang ghaib, yang dipertanggungjawabkan untuk menjalankan undang-undang dan peraturan tuhan.
  • Jin dijadikan tuhan dari lidah api (yang boleh menyerap racunnya ke liang bulu roma), mereka dijadikan sebelum kejadian manusia sebagaimana yang diterangkan dalam ayat 27, Surah Al-Hijr.
  • Jin terbahagi kepada dua golongan :

    Pertama - Golongan yang diciptakan tuhan dengan sifat semulajadinya mempunyai persediaan sama seperti yang ada pada manusia iaitu boleh berfikir dan berusaha melakukan perkara-perkara yang baik atau yang buruk. Oleh sebab itu, di antara golongan jin ini ada yang Islam dan ada yang Kafir sebagaimana yang diterangkan dalam ayat 14 Surah Al-Jin.

    Kedua - Golongan yang diciptakan tuhan dengan sifat semulajadinya mempunyai persediaan untuk melakukan perkara-perkara yang buruk semata-mata. Mereka ini ialah Iblis-Syaitan meliputi zuriatnya serta bala tenteranya. Golongan inilah yang menyebabkan sebahagian besar umat manusia menyeleweng dan terpesong dari undang-undang dan cara hidup yang ditetapkan Allah untuk manusia mendapat nikmat yang sebenar serta kebahagiaan yang kekal.

  • Hakikat ini ditegaskan oleh Allah s.w.t di dalam firmanNya yang kemudian disampaikan ertinya oleh Rasulullah s.a.w seperti berikut
    • Dari 'Iyadr bin Hamar Al-Mujasyi' r.a, bahawa Rasulullah s.a.w suatu hari bersabda dalam khutbahnya:

      "Ketahuilah! Sesungguhnya Tuhanku telah memerintahkan supaya aku mengajar kamu akan apa yang tidak kamu mengetahuinya dari perkara-perkara yang diajarkan kepada kamu hari ini, iaitu (Tuhanku berfirman) : Segala harta benda yang Aku berikan seseorang mendapatnya dengan mana-mana jalan yang Aku benarkan : adalah halal, dan sesungguhnya Aku telah jadikan hambaku semuanya suci bersih (dari fahaman dan amalan syirik) serta betul benar menurut keadaan semulajadinya, dan sesungguhnya mereka didatangi dan diperdayakan oleh syaitan-syaitan sehingga sebahagian besar di antara mereka menyeleweng dan terpesong dari ajaran agamanya yang sebenar..."

 

  • Dengan adanya angkara Syaitan yang demikian, maka Allah s.w.t yang amat mengasihani mengingatkan anak Adam di dalam Al-Quran supaya masing-masing berjaga-jaga dan mengawasi dirinya dari fitnah - hasutan Syaitan dan bala tenteranya. Di antaranya dalam ayat 27 Surah Al-A'raf, ayat 168 dan 169 Surah Al-Baqarah, ayat 21 Surah An-Nur dan ayat 5 dan 6 Surah Fathir, yang antara maksudnya manyatakan bahawa :
    • Syaitan : Tabiatnya menghasut, membuat fitnah, memecahbelahkan rumahtangga dan merosakkan masyarakat.
    • Syaitan giat memujuk dan memperdayakan manusia supaya melakukan segala jenis kejahatan dan mengatakan yang bukan-bukan terhadap Allah s.w.t.
    • Sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan sudah tentu akan binasa.
    • Syaitan - kepada manusia - adalah musuh yang jelas nyata semenjak wujudnya Adam (bapa manusia).
    • Wajib atas tiap-tiap seorang memusuhi Syaitan dan bisikan hasutannya sekalipun terdapat atau terasa ada kebaikan didalamnya, kerana tujuan bisikannya hanyalah hendak menjadikan sesiapa yang menurutnya termasuk dalam golongan ahli neraka.

 

Dari Al-Quran

Maksud ayat 12 Surah Al-'Araf :

  • "Engkau ciptakan aku (kata Iblis) dari api sedangkan Engkau ciptakan dia (Adam) dari tanah".

Maksud ayat 15 Surah ar-Rahman :

  • "Dia menciptakan Jann (Jin) dari api (pucuk api yang bernyala-nyala)".

Maksud ayat 26-27 Surah Al-Hijr :

  • "Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari tanah liat kering kontang yang berasal dari lumpur hitam yang diberi bentuk dan Kami telah ciptakan Jin sebelum itu (sebelum diciptakan manusia) dari api yang sangat panas".

 

Dari Hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Imam Muslim r.a maksudnya :

    • "Malaikat diciptakan dari cahaya, Jaan diciptakan dari lidah api, sedangkan Adam diciptakan dari sesuatu yang telah disebutkan kepada kamu (tanah)".

     

Keterangan "Al-Maarij"

  • "Maarij" ertinya nyalaan api yang sangat kuat dan sangat panas suhunya atau "Al-Lahab" ertinya jilatan api yang sudah bercampur antara satu sama lain iaitu merah, hitam, kuning dan biru.

    (Sesetengah Ulama mengatakan "Al-Maarij" itu ialah api yang sangat terang yang memiliki suhu panas yang sangat tinggi sehingga bercampur antara merah, hitam, kining dan biru.)

  • Al-Maarij sama maknanya dengan "As-Samuun" iaitu api yang tidak berasap yang sangat tinggi suhu panasnya. Sementara As-Samuun ialah angin yang paling tinggi suhu panasnya. Angin samuun yang telah sebati dengan Al-Maarij itulah Allah jadikan Jaan.
  • Al-Maarij - api yang bercampur warna.

    Hadis riwayat daripada Ibnu Mas'ud bermaksud :

    • "Angin Samuun ini hanyalah sebahagian daripada tujuh puluh bahagian dari angin yang sangat panas yang daripadanya Allah jadikan Jaan".

     

    Maka dari api inilah Allah Maha Perkasa lagi Maha Berkehendak dan Maha Berkuasa menciptakan kejadian Jin, iaitu dari sel atau atom atau nukleus-nukleus api. Kemudian Allah masukkan ruh atau nyawa padanya jadilah dia hidup seperti yang dikehendaki oleh Allah. Allah memberi keizinan kepada golongan Jin ini untuk menzahirkan dirinya dalam berbagai rupa dan bentuk yang disukainya kecuali rupa Rasulullah S.A.W mengikut tahap dan kemampuan masing-masing. Bentuk rupa asal Jin selepas dicipta dan ditiupkan ruh hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang mengetahuinya. Sesetengah Ulama berpendapat rupa, tabiat, kelakuan dan perangai Jin 90% mirip kepada manusia.

 

Keadaan / rupa Jin

  • Ruang yang kecil boleh dipenuhi oleh berjuta-juta jin.
  • Jin Islam yang soleh rupanya elok-elok.
  • Jin yang kekal dalam Kafir dan Jin Islam yang pasiq - rupanya hodoh-hodoh iaitu rupa yang menakutkan dan mengerikan.
  • Bentuk tubuh mereka ada yang pendek, ada yang terlalu tinggi, berbagai warna iaitu merah, biru, hitam dan sebagainya.
  • Jin Islam yang paling tinggi imannya, paling tinggi solehnya, dan paling baik amalannya serta paling luas ilmunya masih ada pada dirinya sifat-sifat mazmumah seperti takabbur, ria', 'ujub dan sebagainya.
  • Manusia pula yang paling jahat ialah manusia yang bersifat dengan semua sifat-sifat mazmumah seperti sombong, ria, takabbur, 'ujub dan sebagainya. Mungkin inilah yang lazim dikatakan :

       

      "Sebaik-baik Jin itulah sejahat-jahat manusia yang pasiq".

       

Jenis-jenis Jin

Ada Ulama' membahagikan jin-jin kepada puak-puak yang menunggu kubur, puak-puak yang menunggu gua, puak-puak yang menunggu mayat manusia, puak-puak yang menunggu hutan rimba, puak-puak yang menunggu bukit bukau, puak-puak yang menunggu air mata air, tasik, kolam, teluk, pulau dan sebagainya.

  • Iblis - (Bapa) Pujaan kepada semua jenis Jin, Iblis dan Syaitan.
  • Asy-Syaitan - Syaitan-syaitan.
  • Al-'Ummaar - Pemakmur-pemakmur.
  • Al-Quranaa - Pangawan-pengawan.
  • Al-'Afaariit - Penipu-penipu.
  • Al-A'waan - Pelayan-pelayan.
  • Al-Maraddah - Peragu-peragu (pewas-was).
  • At-Tawaabi' - Pengikut-pengikut (pengekor).
  • Al-Ghawwaasuun - Penyelam-penyelam.
  • Al-Tayyaaruun - Penerbang-penerbang.

 

Raja Jin (Alam) Bawah yang Kafir

  • Mazhab
  • Marrah
  • Ahmar
  • Burkhan
  • Syamhurash
  • Zubai'ah
  • Maimon

 

Raja Jin (Alam) Atas yang Islam

  • Rukiyaail
  • Jibriyaail
  • Samsamaail
  • Mikiyaail
  • Sarfiyaail
  • 'Ainyaail
  • Kasfiyaail

    *Raja Jin yang menguasai kesemua Jin-Jin tersebut bernama THOTHAMGHI YAM YA LI*

 

Di antara Jin, Ifrit dan Syaitan

  • Jin adalah segala makhluk halus yang tersembunyi dan tidak kelihatan oleh manusia. Tahap pengetahuan dan umur Jin adalah lebih luas dan panjang berbanding manusia.
  • Ifrit pula adalah daripada golongan Jin yang sangat kuat dan bijak menipu, busuk hati terhadap manusia. Golongan ini tersangat sombong dan amat derhaka.
  • Syaitan juga dari golongan Jin yang sangat sombong lagi durhaka, pengacau dan menjadi musuh utama manusia dan mendapat kutukan dari Allah hingga Kiamat.
  • Iblis juga dari golongan Jin.
  • Firman Allah yang bermaksud :
    • "Iblis menjawab : Sebab Engkau telah menghukum saya dengan tersesat, saya akan menghalang mereka dari jalan-Mu yang lurus. Kemudian saya akan mendatangi mereka dari depan dan dari belakang mereka, dari kanan dan kiri mereka. Engkau tidak akan mendapati kebanyakan dari mereka bersyukur (taat).

     

    Bermula dari saat itulah syaitan melancarkan gerakan permusuhan dengan manusia sehingga Kiamat. Allah menjelaskan tiga jenis permusuhan syaitan dengan manusia :
    • Kejahatan (As-Suu') : Iaitu berkenaan dengan dosa-dosa (maksiat) hati dan segala anggota badan.
    • Kekejian (Al-Fahsyaa') : Iaitu kejahatan yang lebih buruk atau jahat lagi. Kekejian ini adalah sebahagian kederhakaan (maksiat) kepada Allah.
    • Berbohong kepada Allah.

     

  • Kecepatan pergerakan Jin melebihi kecepatan pergerakan cahaya dalam satu saat.
  • Umur Jin tersangat panjang dan ada yang mencecah beribu tahun lamanya.
  • Seluruh umat manusia dari Adam hingga Kiamat (termasuk haiwan, tumbuhan dan segala isi bumi ini) hanya 1/10 daripada jumlah keseluruhan Jin. Ini bermaksud seorang manusia adalag bersamaan dengan sembilan Jin (1/9). Manakala jumlah keseluruhan Jin adalah 1/10 jumlah keseluruhan Malaikat. Jumlah keseluruhan Malaikat hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang maha mengetahui.
  • Tempat tinggal Jin ialah lautan, daratan, udara dan "Alam Mithal" iaitu suatu alam antara alam manusia dan alam malaikat. Jika ditakdirkan oleh Allah s.w.t kepada kita melihatnya, jarum yang jatuh dari atas tidak akan jatuh ke bumi melainkan jatuh di atas belakang-belakang mereka. Ini bermaksud bilangan mereka adalah terlalu banyak.

 

...

 

Hakcipta Terpelihara © Jabat Sufi 2007
Interaksi anda dengan laman ini adalah tertakluk kepada penafian dan polisi yang dinyatakan.