sambungan...

Pusat Rawatan Dan Pemulihan Dadah Persendirian Jabat Sufi adalah sebuah Pusat Rawatan Dan Pemulihan Dadah yang terletak di Simpang Pulai, Ipoh Perak. Pusat ini menyediakan rawatan pemulihan untuk penagih-penagih dadah yang bertekad untuk mengubah cara hidup yang telah mereka amalkan sebelum ini. Setiap penagih yang datang untuk rawatan akan ditempatkan di asrama yang telah disediakan dan mengikuti proses rawatan dan modul yang telah ditetapkan selama 30 hari. Setelah sekian lama sistem pemulihan dadah yang ada sekarang diakui gagal, akhirnya kabinet bakal menimbangkan kaedah baru bagi menggantikannya. Meskipun telah banyak harta benda dan nyawa yang terkorban gara-gara dadah, namun masih belum terlambat untuk kita membuat perubahan bagi mengubati penyakit sosial ini.

Lebih-lebih lagi usaha tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menyelamatkan anak bangsa yang sememangnya paling ramai terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah. Berdasarkan statistik bagi tahun 2003, 10,759 daripada 14,904 penagih baru yang dikesan adalah anak-anak muda melayu. Dalam masa yang sama, 90 peratus daripada penagih yang dihantar ke pusat pemulihan menjadi penagih berulang dengan 48 peratus kembali dimasukkan ke pusat serenti.

Apa yang jelas, sistem atau kaedah yang sedia ada bukan sahaja gagal memulihkan penagih, malah sekaligus membazirkan wang negara. Bagaimanapun, apa pula kesudahan hidup insan yang layak digelar sampah masyarakat ini jika mereka tidak diberi peluang untuk membaiki kesilapan dan memulakan hidup baru?

Pemilik Pusat Rawatan Dadah Persendirian Jabat Sufi di Ipoh, Perak, Mohamad Ismail Saleh berkata, usaha merawat dan membimbing penagih dadah untuk kembali ke pangkal jalan tidak harus berasaskan kekerasan. Sebaliknya, ia memerlukan pendekatan berkonsepkan kasih sayang serta persekitaran yang lebih tenang seumpama sebuah keluarga untuk memulihkan mereka. Jauh sekali perlakuan-perlakuan kasar yang mengakibatkan mereka merasa didera dan terhina kerana semua itu mengakibatkan penagih sukar untuk berubah. Apatah lagi jika bekalan dadah boleh bolos di mana-mana pintu masuk untuk penagih melepaskan gian sekiranya berduit. "Jika seorang anak yang normal perlukan perhatian, didikan dan kasih sayang, penagih dadah memerlukan bimbingan yang lebih mendalam kerana mereka umpama anak yang bermasalah. Untuk membimbing seseorang menjadi baik pula, kita perlu menunjukkan contoh yang baik sama ada dari segi tutur kata, tingkah laku mahupun layanan yang diberikan kepada mereka".

Rawatan pemulihan dadah juga tidak sempurna jika perkara-perkara asas dalam agama seperti bersuci dan solat lima waktu tidak diamalkan dengan sempurna. Berpengalaman merawat penagih sejak 13 tahun lalu, baginya tidak ada cara yang lebih baik dalam menangani masalah ini selain kembali kepada ajaran Islam. Lebih-lebih lagi masalah ketagihan bukan sahaja melibatkan penderitaan jasmani, tetapi juga rohani yang memerlukan rawata bersepadu untuk kedua-duanya. Penagih dadah bukan sekadar menderita penyakit jasmani, tetapi juga penyakit rohani. Jadi untuk memulihkan mereka, kedua-duanya perlu dirawat.

 

...

 

Hakcipta Terpelihara © Jabat Sufi 2013
Interaksi anda dengan laman ini adalah tertakluk kepada penafian dan polisi yang dinyatakan.